suria

Suami Isteri Didakwa Miliki Dadah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Rabu atas tiga pertuduhan memiliki dadah di Taman Sri Sinar, Segambut dekat sini, minggu lepas.

Yap Chai Soon, 51, dan isteri Ng Chew Lan, 46, didakwa memiliki dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 676 gram di No.54, Jalan 15/38E, Taman Sri Sinar, Segambut di sini pada 2 pagi, 16 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga mereka turut didakwa memiliki dadah disyaki jenis ketamin dengan anggaran berat 112.4 gram dan dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 126.6 gram pada masa dan tempat sama.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Mei depan ntuk sebutan bagi mendapatkan laporan kimia. - BERNAMA

Artikel Lain