suria

Siasatan Ke Atas Pertukaran Saham MAS-AirAsia Masih Diteruskan - MyCC

GEORGE TOWN: Siasatan ke atas perjanjian saham antara Malaysian Airline System dan AirAsia Bhd masih diteruskan, kata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

"Saya tidak boleh membuat pengumuman...kami masih menyiasat (perjanjian pertukaran saham itu). Apabila tiba masa yang sesuai, kami akan beritahu anda," kata Pengerusinya Tan Sri Siti Norma Yaakob, Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bengkel dua hari mengenai "Akta Persaingan 2010: Kajian Amalan Pasaran", di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Rabu.

Persuruhjaya MyCC Datuk Dr S. Sothi Rachagan berkata siasatan itu akan mengambil masa yang lebih panjang memandangkan ia merupakan proses yang kompleks, yang membabitkan penelitian perjanjian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata siasatan MyCC ke atas perjanjian pertukaran saham itu akan tertumpu terhadap sama ada ia membabitkan penyalahgunaan monopoli atau pembentukan kartel.

Mengulas mengenai Akta Persaingan yang berkuat kuasa Januari lepas, Siti Norma berkata kerajaan mengambil masa 20 tahun untuk melaksanakannya.

"Walaupun akta itu baharu kepada komuniti perniagaan di Malaysia, pendidikan sangat penting dalam menyebar luas tujuan dan objektifnya selain bagaimana ia boleh menarik perniagaan dan perubahan minda.

Akta Persaingan itu bertujuan mempromosi proses persaingan pasaran dan perlindungan kepentingan pengguna.

Ia terpakai ke atas semua aktiviti perniagaan dan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta di Malaysia dan luar negara.

Siti Norma berkata Akta Persaingan akan menambah lagi bilangan penggiat pasaran, menggalakkan pelaburan menerusi kecekapan dinamik dan menjana harga sebenar menerusi peruntukan dan kecekapan statik.

Seramai 40 peserta bengkel itu didedahkan terhadap peranan Akta Persaingan dalam mempromosi persaingan sihat dan perniagaan yang adil, amalan antipersaingan selain penyalahgunaan kedudukan dominan. - BERNAMA

Artikel Lain