suria

Rasuah Pegawai Polis: Lelaki Diperintah Bela Diri

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang lelaki membela diri terhadap pertuduhan menawar dan memberi suapan RM100,000 kepada seorang pegawai polis, dua tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 24.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga hari bermula 21 Mei ini bagi Wan Muhammad Azlan membela diri.

Dia didakwa menawarkan suapan itu kepada Inspektor V.Mohana Sundaram yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, sebagai dorongan untuk tidak menyerahkan tertuduh kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk siasatan lanjut berhubung pengakuannya sebagai pengedar dadah jenis pil kuda di Kelantan.

Wan Muhammad Azlan, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Balai Polis Bukit Puchong, kira-kira 7.30 malam pada 27 Sept 2010.

Dia juga didakwa memberi suapan RM100,000 kepada Mohana Sundaram melalui bapa saudaranya, Mohd Kamal Mohd Zin, sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama pada kira-kira 1.45 petang, 28 Sept 2010 di tempat sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Wan Muhammad Azlan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding sama, Hakim Asmadi turut memerintahkan Mohd Kamal, 41, membela diri atas pertuduhan bersubahat dengan Wan Muhammad Azlan memberi rasuah kepada pegawai polis itu.

Bagaimanapun, mahkamah sama melepas dan membebaskan Wan Muhammad Azim, 22, daripada pertuduhan bersubahat dengan tertuduh, yang juga abangnya, melakukan perbuatan itu. Hakim Asmadi memerintahkan Mohd Kamal membela diri pada tarikh yang sama dengan Wan Muhammad Azlan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulkarnain Hassan dari SPRM, yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zaki Mohd Salleh. -BERNAMA

Artikel Lain