suria

Polis Marin Rampas 27,000 Liter Minyak Diesel Subsidi

PASIR PUTEH: Polis Marin Wilayah Tiga di sini mematahkan cubaan menyeludup 27,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM48,000 ke negara jiran awal pagi Selasa.

Komandernya, ACP Azmi Ibrahim berkata lima lelaki, tiga daripadanya warga Thailand manakala dua lagi rakyat tempatan berumur lingkungan 30-an hingga 50-an ditahan ketika cuba memindahkan minyak dari lori tangki kepada kapal tangki di pangkalan kecil Tok Bali kira-kira 1.30 pagi Selasa. "Rampasan ini merupakan kejayaan terbesar dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya kepada pemberita di pangkalan Polis Marin Tok Bali di sini.

Beliau berkata ketika ditahan, sebanyak 13,000 liter sudahpun diisi ke dalam kapal berkenaan yang direka khas untuk tujuan pengisian minyak.

Katanya minyak itu dipercayai dibeli secara runcit di stesen-stesen minyak di Terengganu dan Kelantan dengan menggunakan tong sebelum diisikan ke dalam lori tangki untuk diseludup menerusi pengangkutan laut ke Thailand. Azmi berkata kelima-lima lelaki berkenaan ditahan reman dan diserahkan kepada pihak penguat kuasa Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata harga minyak di Thailand yang tinggi iaitu RM3 seliter berbanding RM1.80 sen di Malaysia adalah antara faktor mengapa berlakunya penyeludupan.

"Mereka mahu mendapat keuntungan lumayan sehingga melebihi RM25,000, jika kegiatan mereka tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa di negara ini," katanya.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan jika terdapat rakyat tempatan yang bersubahat dengan kumpulan penyeludup itu. -BERNAMA

Artikel Lain