suria

PNB Dilantik Cetak Notis Kesalahan Saman Trafik Melalui Pos Daftar

KUALA LUMPUR: Percetakan Nasional Berhad telah dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencetak semua notis kesalahan saman melalui pos daftar sejak tahun 2009, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata sistem itu memudahkan Orang Kena Saman (OKS) untuk melaksanakan urusan semakan dan pembayaran saman mereka.

"Pelaksanaan sistem baru cetakan dan pengeposan notis saman ini jauh berbeza dengan sistem terdahulu iaitu sebelum tahun 2009, cetakan saman pos adalah dibuat oleh PDRM," katanya dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Fong ingin tahu mengenai syarikat yang diberi kontrak mengeluarkan notis kesalahan trafik secara pos, prosedur penyerahan notis, syarat kontrak serta sejauh mana sistem ini berbeza dengan yang terdahulu dan adil kepada pengguna jalan.

Hishammuddin berkata selain membuat semakan dan membayar saman di 151 kaunter trafik Cops di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah seluruh negara, mereka yang ingin membayar saman juga boleh membuatnya di 705 kaunter Pos Malaysia Berhad seluruh negara, cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpilih, kaunter bayaran saman di pusat beli-belah terpilih dan portal www.myeg.com.my atau www.rilek.com.my.

Hishammuddin berkata Pos Malaysia Berhad yang dilantik sebagai ejen kutipan saman trafik dengan kadar caj perkhidmatan yang ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM2 bagi setiap transaksi.

Sementara syarikat MyEG Services Sdn Bhd dan Syarikat Komms Bhd dengan kadar caj perkhidmatan yang ditanggung oleh kerajaan bagi pembayaran saman melalui portal www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my sebanyak 1.8 peratus daripada jumlah pungutan bagi bayaran melalui kad kredit dan 50 sen bagi setiap transaksi bagi bayaran secara kad debit.

Berhubung prosedur penyerahan notis saman pula, beliau berkata ianya tertakluk kepada Seksyen 118 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu penyampaian dan tanda tangan notis.

"Di bawah seksyen ini apa-apa notis yang dikehendaki, diberikan atau disampaikan adalah boleh dihantar melalui pos berdaftar kepada orang yang terjejas olehnya melainkan jika apa-apa cara penyampaian yang lain ditetapkan,' katanya. - BERNAMA

Artikel Lain