Pengusaha Kedai Makan Ditemui Mati Dengan Kesan Jerutan - Semasa | mStar

Pengusaha Kedai Makan Ditemui Mati Dengan Kesan Jerutan

SEREMBAN: Seorang pengusaha kedai makan ditemui mati dengan kesan jerutan dileher, dipercayai dibunuh, di tepi jalan di Kampung Pasir Linsum, Siliau dekat sini, Selasa.

Jurucakap polis berkata mangsa yang memakai baju gelap dan berseluar jean dikenali sebagai, Ruzina Jaafar, 40, ditemui orang awam yang melalui jalan itu kira-kira pukul 8 pagi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat dan pemeriksaan awal mendapati ada kesan jerutan di leher mangsa dan kesan lebam di bahagian kepala mangsa.

Polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh tidak sampai 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa Mohd Rafi Jaafar, 42, yang ditemui di tempat kejadian berkata adiknya yang telah berkahwin dan mempunyai lima orang anak mengusahakan sebuah kedai makan di Simpang Pertang, Jelebu.

Katanya kali terakhir adiknya dilihat menghantar anaknya pulang ke rumah di Simpang Pertang selepas menutup perniagannya kira-kira pukul 2 pagi.

"Adik saya kemudiannya keluar seorang diri dengan menaiki sebuah kereta miliknya tetapi dia tidak pulang ke rumah sehinggalah mayatnya ditemui di sini.

Saya difahamkan suami adik saya ada membuat laporan polis mengenai kehilangan Ruzina di Balai Polis Simpang Pertang pagi Selasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain