suria

Malaysia Tumpaskan Sindiket Pemerdagangan Manusia Antarabangsa

MELBOURNE: Polis Persekutuan Australia (AFP), dengan bantuan agensi antarabangsa termasuk Malaysia, menangkap empat lelaki yang berpangkalan di Australia yang didakwa menjadi penganjur satu sindiket pemerdagangan orang antarabangsa.

Lelaki berumur 37, 41, 18 dan 32 didakwa di Sydney dan Melbourne, atas kesalahan serius pemerdagangan orang.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan Australia Jason Clare berkata ini merupakan operasi antarabangsa membabitkan agensi penguatkuasa undang-undang dari Malaysia, Thailand dan Indonesia dan berjaya menangkap seorang lelaki di Thailand.

Pasukan Bertindak pemerdagangan Orang AFP menjalankan siasatan selama lapan bulan yang membawa kepada penangkapan empat lelaki di Australia.

Ia dikatakan bahawa mereka yang ditangkap merupakan penganjur utama dan fasilitator satu sindiket pemerdagangan orang yang bertanggungjawab dalam merancang dan memudahkan ketibaan banyak orang yang menyalahi undang-undang ke Australia. "Ini merupakan satu kejayaan penting - yang dikatakan menggagalkan satu sindiket pemerdagangan orang antarabangsa," kata Clare dalam satu kenyataan.

"Penangkapan ini menunjukkan kepentingan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di rantau kita."

Australia Associated Press melaporkan bahawa Wasim Buka, 41, dan Hossain Mahmod Akbar, 18, dibenarkan diikat jamin di Mahkamah Majistret Melbourne selepas didakwa berhubung pemerdagangan orang.

Lelaki ketiga, Fadhill Raghib Khana Zangana, 37, muncul di Mahkamah Tempatan Pusat Sydney atas 10 pertuduhan pemerdagangan orang.

Seorang lelaki berumur 32 tahun dari Sydney dijangka hadir di mahkamah itu pada Rabu.

Hukuman maksimum bagi pemerdagangan orang adalah penjara 20 tahun. -BERNAMA

Artikel Lain