suria

Kastam Kedah Rampas Dadah Bernilai Lebih RM1.45 Juta

ALOR SETAR: Jabatan Kastam Kedah berjaya merampas dadah bernilai lebih RM1.45 juta dan menahan tiga lelaki, dua daripadanya warga asing dalam kes berasingan pada Isnin dan Selasa lepas.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Abd Aziz Abdul Latif berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki warganegara Filipina berusia 28 tahun yang ditahan di kaunter pemeriksaan Kastam di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam pada 1.40 tengah hari Isnin lepas.

Hasil pemeriksaan, satu bungkusan mengandungi hablur kristal putih disyaki syabu seberat 5.65 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta ditemui dalam bagasi lelaki itu, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata, siasatan mendapati ini kali kedua suspek memasuki negara ini dengan kali pertama melalui Semporna, Sabah.

Dalam kes kedua, Abd Aziz berkata, pada hari sama seorang lelaki tempatan berumur 30-an ditahan di Jeti Kuah, Langkawi pada pukul 8.40 malam selepas pihak Kastam menjumpai 106 gram heroin dan satu gram syabu di dalam jaketnya dengan nilai dianggarkan RM13,750.

Pada kira-kira 4.30 petang keesokannya, beliau berkata Kastam berjaya menahan seorang lelaki warganegara India berumur 34 tahun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim kerana cuba menyeludup ketamin seberat 2.9 kilogram bernilai kira-kira RM31,900.

"Hasil pemeriksaan terhadap beg suspek, kita menemui satu lapisan formika board pada lantai beg tersebut iaitu pada bahagian tengahnya terdapat bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi dadah," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari dan semua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati madatori jika sabit bersalah. - BERNAMA

Artikel Lain