suria

Isu Lynas Tidak Jejas Kelancaran Rundingan FTA Malaysia-Australia: Mustapa

KUALA LUMPUR: Isu kilang nadir bumi Lynas tidak akan menjejaskan rundingan cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Australia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perjanjian perdagangan antara Kuala Lumpur dan Canberra dijangka dimeterai pada Mei tahun ini.

"Bukan sahaja FTA, tetapi aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), juga tidak terjejas. Ia berasingan daripada isu Lynas dan FTA Malaysia-Australia berjalan lancar.

"Saya akan bertemu dengan rakan sejawatan saya dari Australia dalam masa beberapa hari lagi.

"Mengenai FDI, terdapat beberapa syarikat yang mengikuti perkembangan isu Lynas, tetapi setakat ini kementerian saya masih belum menerima sebarang maklum balas negatif. Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi banyak negara," kata Mustapa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan industri maritim yang ditawarkan oleh T.A.G Marine Sdn Bhd, di sini, Rabu.

Rancangan oleh gergasi perlombongan Australia, Lynas Corp, untuk membuka kilang penapis nadir buminya di Kuantan telah mencetuskan beberapa bantahan di negara ini.

Para pengkritik mendakwa projek bernilai RM700 juta itu membahayakan kesihatan.

Kerajaan, di bahagiannya telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi kilang Lynas itu untuk mendapatkan maklum balas saintifik dan berdasarkan fakta daripada pemegang kepentingan seperti pengawal selia, serta kumpulan relevan lain, dan dijadual membentangkan keputusannya kepada Parlimen pada Jun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberikan jaminan kerajaan tidak akan berfikir dua kali membatalkan projek tersebut sekiranya ada bukti saintifik ia berbahaya.

Mengulas mengenai perkara ini, Mustapa berkata cadangan PSC itu perlu diberi masa untuk melaksanakan tugasnya dan mengesahkan komitmen kementerian untuk terus melibatkan pelbagai kumpulan dalam isu ini.

"Kami berpegang teguh dengan pandangan kami bahawa projek ini telah dibuktikan tidak berbahaya.

"Kerajaan, bagaimanapun, memahami kebimbangan rakyat Malaysia, dan itulah sebabnya mengapa kami mencadangkan inisiatif ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain