suria

Ismail Sabri Sangkal BR1M Guna Subsidi Rakyat

KUALA LUMPUR: Dakwaan pembangkang kononnya kerajaan menggunakan peruntukan subsidi rakyat bagi pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah tuduhan karut dan tidak berasas.

Sebaliknya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan berjumlah RM1.98 bilion bagi tujuan pemberian BR1M telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2012.

"RM1.98 bilion itu sudah ada dalam bajet yang lepas, jadi tak timbul isu sebenarnya, tak ada isu yang menyatakan ia diambil dari minyak dan sebagainya. Ia tak perlu dipolitikkan.

"Tapi memang betul ia tidak mencukupi kerana harga petrol naik tahun ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab mengenai kenyataan Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail yang mendakwa peruntukan BR1M diambil dari subsidi rakyat.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, peruntukan bajet 2012 bagi gula dan gandum juga tidak mencukupi kerana kenaikan harga dua bahan itu.

"Sebab itu kita ada bajet tambahan dan dalam bajet tambahan itu, kita minta peruntukan untuk tampung kekurangan peruntukan gula, gandum dan petrol," katanya.

Artikel Lain