suria

PSC: Pembangkang Tidak Puas Hati Komitmen SPR

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali kesal dengan komitmen yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung usaha penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya di kalangan parti pembangkang tidak berpuas hati dengan kesungguhan SPR yang disifatkan tidak efisyen.

"Setiap mesyuarat yang kita adakan dengan SPR termasuk pendengaran awam, kita sendiri terpaksa kemukakan bukti-bukti baru bagi menunjukkan daftar pemilih sedia ada tidak dibersihkan.

"Lihat sahaja lebih daripada 42,000 pengundi ragu yang diumumkan SPR tahun lalu...janji bahawa mereka akan bersihkan nama-nama berkenaan tidak terlaksana sampai ke hari ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PSC di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Mesyuarat berkenaan sepatutnya merupakan yang terakhir sebelum jawatankuasa tersebut membentangkan laporannya di Dewan Rakyat minggu depan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PSC masih tidak berpuas hati dengan beberapa perkara termasuk yang berkaitan dengan komitmen SPR.

"Buat masa ini kami tidak gembira dengan komitmen yang ditunjukkan SPR, ada beberapa isu perlu diselesaikan.

"Jadi inilah sebabnya kami tidak muktamadkan cadangan PSC hari ini, malah Pengerusi PSC (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) juga bersetuju untuk tangguhkan sehari lagi sebelum kami siapkan laporan akhir," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata Ongkili memainkan peranan yang baik sebagai Pengerusi PSC kerana memberikan lebih banyak ruang kepada setiap anggota untuk mengemukakan pandangan.

"Inilah sebabnya mengapa sejak hari pertama kami setuju untuk sertai PSC dan kami telah memainkan peranan yang aktif untuk menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

"Namun selepas enam bulan berada dalam jawatankuasa ini, saya tidak nampak sebarang usaha yang diambil SPR bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini adil dan bersih," katanya.

Artikel Lain