suria

Pembakaran Terbuka Akan Dikawal Elak Jerebu - Douglas Uggah

KUALA LUMPUR Kerajaan akan meneruskan usaha mengawal kegiatan pembakaran terbuka sebagai satu cara untuk mengatasi masalah jerebu semasa musim panas dan kering yang dijangka berlaku pada April hingga September ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat persediaan Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan Khamis lepas dan Jabatan Alam Sekitar diberi tanggungjawab bagi memastikan kegiatan pembakaran terbuka dikawal.

"Strateginya ialah dengan menghadapi cuaca kering kita akan melakukan lebih banyak penguatkuasaan di jalan raya bagi mengurangkan pencemaran, mengawal selia, kuatkuasa bagi memastikan tiada pembakaran terbuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar serantau mengenai kaedah dan alat yang lebih baik untuk mengintegrasikan pemuliharaan kepelbagaian biologi ke dalam perancangan hutan di sebuah hotel di sini, Sekasa.

Sehingga 19 Mac lepas, 320 kes pembakaran terbuka direkodkan di seluruh negara di mana 56 kes dikenakan kompaun dan 23 menerima notis mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Beliau berkata bagi mengawal kegiatan pembakaran terbuka, kerajaan akan memberi perhatian di kawasan tanah gambut di Selangor, Pahang, Miri (Sarawak) dan Johor, kerana ia mudah terbakar apabila paras air di kawasan itu menurun.

Setakat ini, kementerian telah dapat memastikan paras air mencukupi dan pada masa sama membina beberapa telaga tiub bagi mengepam air sama ada untuk memadam kebakaran atau meningkatkan paras air di tanah gambut.

Uggah berkata jawatankuasa pemandu kementerian alam sekitar bagi negara anggota Asean akan bertemu di Brunei, Mei ini, bagi membincangkan cara dan kaedah bagi membendung punca jerebu yang merentas sempadan.

Kumpulan itu juga akan membincangkan usaha bagi menyelaras dan bekerjasama dalam pelbagai program selain bertukar-tukar pengalaman antara negara-negara anggota.

Pada majlis hari ini, Uggah juga melancarkan 'Perak Tool', satu alat baru kepelbagaian biologi, yang bertujuan bagi membantu pengurus hutan dan penggubal dasar bagi memastikan perancangan yang lebih baik, penebangan lestari dan kesan penilaian kepelbagaian biologi dalam menghasilkan hutan.

Ia diberi nama Perak kerana ia dibangunkan selepas penyelidikan selama enam tahun di hutan simpan Temenggor oleh penyelidik tempatan dan Amerika di bawah projek pemuliharaan kepelbagaian biologi bernilai RM7 juta.

Seminar dua hari itu disertai 120 peserta termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina. -BERNAMA

Artikel Lain