suria

Peguam Hadapi Tuduhan Pecah Amanah RM5 Juta

SHAH ALAM: Seorang peguam yang pernah didakwa atas tuduhan pecah amanah melibatkan cek RM638,764 Februari lepas, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan RM5,071,344.80.

Zainudin Maksom, 40, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Peguam itu yang diamanahkan wang RM2,223.075.40 dan RM2,848,269.40 yang mana beliau bertindak sebagai pemegang amanah kepada Syarikat Heveaplast Marketing Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah ke atas wang itu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di dua pejabat firma guamannya terletak di Kajang iaitu di No: 40A, Tingkat 1, Jalan Raja Haroun dan di No: 5, Tingkat 1, Jalan Saga, Taman Sri Saga, Sungai Chua antara 3 Nov 2008 dan 10 Ogos 2009.

Zainudin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkan peguam itu dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan kes.

Mahkamah memerintahkan Zainudin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan membenarkan permohonan peguam itu untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen 7 di sini untuk dibicarakan bersama satu lagi kes pecah amanah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya M.Puveneswaran mengendalikan pendakwaan sementara Zainudin diwakili peguam Jaspal Singh Mann dan T.Santhakumari.

Pada 27 Februari lepas, Zainudin mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah melibatkan cek bernilai RM638,764 dan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin. -BERNAMA

Artikel Lain