suria

MB Kecewa Kecermelangan Pelajar Terengganu Jadi Bahan Fitnah

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa kerana terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah kononnya pendidikan Terengganu cemerlang disebabkan faktor soalan bocor diberikan kepada pelajar negeri ini.

"Kalau soalan bocor, pelajar-pelajar kita dapat 'A' semualah. "Inilah susahnya kerana kadang-kadang orang seperti ini tidak mahu iktiraf kebolehan orang lain dan sembarangan saja mereka membuat tuduhan dan fitnah," katanya selepas menyampaikan e-Book kepada 667 pelajar Tahun Empat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kecemerlangan Terengganu yang berterusan dalam peperiksaan awam terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan soalan bocor.

Ahmad berkata fitnah yang dilemparkan seolah-olah menafikan usaha keras kerajaan, guru-guru dan ibu bapa dalam meningkatkan hal berkaitan pelajaran di Terengganu. "Mereka yang buat fitnah ini sepatutnya bangga dengan kejayaan memajukan bidang pendidikan, bukannya mengutuk tanpa usul periksa. Apapun kerajaan negeri akan terus berperanan dalam mencapai kecemerlangan pelajar negeri ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain