suria

Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama 97.8 Gram Syabu

KUNAK: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun selepas menemui 97.8 gram dadah jenis syabu dalam poket seluarnya ketika diperiksa di Jalan Kampung Jaya Baru, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M.Radzali Mahmud berkata lelaki yang datang dari daerah Lahad Datu dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan itu ditahan oleh sepasukan anggota polis diketuai Inspektor V. Khantan pada pukul 10.30 malam.

"Hasil pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas lelaki berkenaan, polis menjumpai tiga bungkusan kecil hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu disembunyikan dalam kocek seluar suspek", katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya lelaki yang positif dadah methampethamine berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 15(1) akta yang sama.

Beliau turut meminta masyarakat supaya menyalurkan maklumat dengan segera kepada polis jika terserempak dengan individu atau kumpulan yang mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membantu membanteras aktiviti pengedaran dadah. - BERNAMA

Artikel Lain