suria

Kematian Vinoth Bukan Disebabkan Kegagalan Kem Beri Bantuan - Abd Latiff

KUALA LUMPUR: Kematian R.Vinoth, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Hospital Sungai Siput (HSS), Perak pada 13 Mac lepas, bukan disebabkan kegagalan pengurusan kem memberikan bantuan segera, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata pihak pengurusan Kem PLKN di Terkok, Kampung Sungai Durian, Lintang, tempat mendiang mengikuti latihan, telah mengambil langkah segera membawa Vinoth ke HSS pada 9 Mac setelah beliau didapati mengalami demam panas dan diberikan rawatan pesakit luar.

Dua hari selepas itu, katanya Vinoth sekali lagi dibawa ke HSS apabila mengalami demam panas dan muntah sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

"Namun, beliau meninggal dunia pada 13 Mac. Oleh itu, dakwaan bahawa pihak kem tidak prihatin dan tidak memberi rawatan awal adalah tidak benar," katanya semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.

Vinoth, 18, dilaporkan demam di kem berkenaan beberapa hari dan dihantar ke HSS untuk mendapatkan rawatan dan meninggal dunia pada 10 malam.

Menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai tahap kebersihan kem berkenaan, Abd Latiff berkata pengurusan kem sentiasa mematuhi prosedur kebersihan seperti ditetapkan Jabatan Latihan Khidmat Negara.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah Sungai Siput juga telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas kem berkenaan meliputi aspek kebersihan air di asrama, asrama pelatih, tempat memasak, dewan makan serta persekitaran kem sebelum pelatih melapor diri pada 1 Januari.

"Malah, pemeriksaan dan ujian air kolam telah dilakukan pada 1 Februari 2012 dan keputusannya kolam tersebut bebas daripada virus Leptospirosis atau jangkitan wabak kencing tikus," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain