suria

Kastam Rampas 19.57 Kilogram Syabu Bernilai Hampir RM5 Juta

SEPANG: Jabatan Kastam menahan empat lelaki warga asing dan merampas 19.57 kilogram dadah jenis syabu bernilai hampir RM5 juta dalam kes berasingan sepanjang tempoh dua hari bermula Ahad lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Siti Baya Berahan berkata keempat-empat lelaki warga asing yang ditangkap itu berumur antara 22 hingga 51 tahun.

Dalam kes pertama, pegawai kastam menahan seorang lelaki warga India berumur 35 tahun dan hasil pemeriksaan telah membawa kepada rampasan syabu seberat 5.04kg bernilai RM1.26 juta, sebaik lelaki itu tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini pada pukul 12.30 malam, 25 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan rapi, jabatan itu juga menahan seorang lagi warga India berumur 42 tahun, dalam penerbangan yang sama, dan merampas syabu seberat 10.05 kg bernilai RM2.51 juta di tempat dan waktu yang sama.

Dalam kes ketiga, pegawai jabatan itu merampas syabu seberat 3.98 kg bernilai RM995,000 dari seorang lelaki warga India berumur 51 tahun bernilai RM995,000 pukul 2 pagi di LCCT pada 26 Mac.

Hasil pemeriksaan juga, pegawai jabatan itu juga menahan seorang lelaki warga Nigeria berumur 22 tahun dan merampas syabu seberat 0.5kg bernilai RM125,000 pada pukul 4.50 petang di KLIA pada 26 Mac.

Keempat-empat lelaki itu ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain