suria

Jamil Khir Cadang Wujudkan Perpustakaan Mini Di Masjid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan supaya beberapa buah masjid dijadikan contoh untuk mewujudkan perpustakaan mini yang sesuai dengan perkembangan umat Islam dan teknologi hari ini.

Katanya fungsi perpustakaan masjid itu perlu menjadi tarikan dengan ratusan judul buku yang boleh menjadi rujukan umat Islam dan pada masa yang sama mampu menarik anak muda berkunjung ke masjid.

"Kalau ada kitab setakat 20 ke 30 judul, akan berlaku kejemuan, biarlah ia menjadi tempat yang boleh menampung semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perpustakaan Masjid Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa di sini, Selasa.

Katanya, pada hari ini terdapat 6,400 masjid dan 14,400 surau di seluruh negara tetapi hanya 64 masjid yang mempunyai perpustakaan sendiri.

Daripada jumlah itu, hanya Masjid Negara, Masjid Tuanku Mizan, Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Putrajaya sahaja yang mempunyai pustakawan yang dibayar gaji dan mampu menganjurkan aktiviti semasa seperti persidangan dan simposium yang berkaitan dengan umat Islam, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain