suria

Hasan Ali Akan Dedah Video Cubaan Murtad Isnin Depan

KUALA LUMPUR: Bekas exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Mohamed Hasan Ali akan mendedahkan rakaman video yang merupakan bukti tentang wujudnya usaha memurtadkan umat Islam terutama di Selangor pada Isnin depan.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, beliau akan melakukan satu sidang media khusus untuk mendedahkan perkara tersebut.

“Saya ada kata untuk mendedahkannya selepas dua minggu (ia diumumkan). (Tetapi) sebelum ini, ada soal-soal teknikal dari segi pembikinan untuk video tersebut. Maka saya akan mengadakan sidang media di kediaman saya pada Isnin ini.

“Ini untuk melihat paparan video tersebut. Saya tidak akan banyak bercakap mengenai video tersebut kerana kita tunggu Isnin ini dan lihat,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Isnin.

Sebelum ini, Dr Hasan dilaporkan berkata, rakaman video tersebut akan memaparkan pengakuan mereka yang pernah murtad dan mengikuti majlis pembaptisan, meminum air suci, menghadiri sesi makan malam keagamaan dan kursus setiap minggu serta diberikan buku dan kitab yang berkaitan.

“Saya ada bukti-bukti cukup yang sebahagian daripada maklumat itu saya peroleh daripada orang yang murtad itu sendiri,” katanya.

Beliau mengambil langkah tersebut kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menuduhnya cuba menimbulkan kekacauan dan keraguan kepada rakyat kerana terlalu beria-ia sangat untuk menghapuskan gejala murtad.

Abdul Khalid sebelum ini turut dilaporkan telah meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjalankan siasatan mengenai dakwaan wujudnya usaha memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Artikel Lain