suria

ADUN BN Selangor Keluar Dewan Bantah SMS "Tidak Adil" Speaker

SHAH ALAM: Beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor daripada Barisan Nasional bertindak meninggalkan persidangan pada Selasa kerana membantah tindakan Speaker Datuk Teng Chang Kim yang mereka anggap sebagai tidak adil.

Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, Teng telah menyalahgunakan kuasanya apabila menghantar SMS meminta semua anggota exco kerajaan negeri "menggunakan peluang secukupnya" untuk menjelaskan kejayaan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat itu memerintah Selangor selama empat tahun dalam sesi penggulungan perbahasan.

"Speaker tidak boleh hantar SMS sebegini kepada ahli exco sebab hanya MB (Menteri Besar) sahaja boleh hantar SMS untuk meminta semua ahli Exco membahas tentang kejayaan pakatan PKR-DAP-PAS memerintah Selangor.

"Ini jelas menunjukkan Speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota exco supaya menjawab baik mengenai pemerintahan pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas keluar dari dewan itu.

Turut bertindak keluar adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong), Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali), Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baharu), Datuk Abdul Rahman Palil (BN-Sementa) dan Badrul Hisham Abdullah (BN-Pelabuhan Klang).

Mohd Shamsudin pula berkata, Teng sepatutnya meminta maaf kepada semua anggota dewan kerana SMS yang dihantarnya itu bertentangan dengan amalan seorang Speaker kerana ia cuba mempengaruhi pemikiran orang lain untuk membahas sesuatu isu.

SMS dalam bahasa Inggeris itu antara lain berbunyi: "Ini mungkin penggulungan terakhir bagi exco, peluang harus digunakan sepenuhnya bagi menjelaskan tentang kejayaan kita sejak empat tahun lepas."

Teng pula berkata, beliau tidak mengambil sikap berat sebelah "dalam usaha mendekati dan menegur semua anggota dewan".

Beliau berkata, SMS yang dihantarnya itu hanya untuk memberi peringatan kepada semua anggota exco untuk menggunakan peluang sebaik-baiknya membahaskan tentang sesuatu isu.

Teng berkata, mana-mana wakil rakyat BN boleh membawa usul terhadap beliau jika beliau menyalahgunakan kuasanya. - BERNAMA

Artikel Lain