suria

Polis Serbu Tiga Premis Perjudian, Tahan Tiga Orang

GEORGE TOWN: Polis menyerbu tiga buah premis di Lebuh Pekaka di sini, yang aktif menjalankan kegiatan judi berkomputer dan menahan tiga orang termasuk seorang wanita dalam satu operasi tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata serbuan 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

"Dalam operasi itu, kita berjaya menahan seorang lelaki dan wanita yang bekerja sebagai penjaga pusat judi berkenaan serta seorang lelaki merupakan pelanggan premis perjudian terbabit.

"Kesemua yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 36 tahun," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Beliau berkata dalam operasi itu polis turut merampas 44 unit komputer yang telah diubah suai dan beberapa modem yang digunakan untuk kegiatan perjudian.

"Hasil pemeriksaan kita dapati setiap premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) manakala pada pintu masuk premis itu mempunyai sistem kawalan yang mana pelanggan yang ingin masuk ke premis itu perlu tahu kata laluan," katanya.

Gan berkata siasatan awal juga mendapati premis berkenaan pernah diserbu beberapa kali sejak tahun lepas.

"Ketiga-tiga premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen dan mereka hanya meletakkan kertas bertulis Cyber Cafe bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Katanya dua pekerja yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) manakala pelanggan yang ditahan akan disiasat menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Lain