suria

Polis Akan Ambil Tindakan Terhadap PVR Yang Salah Guna Kuasa

PETALING JAYA: Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang juga Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) jika menyalahgunakan kuasa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata jika perkara tersebut berlaku, pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik semula kuasa yang diberi.

"Sebelum dilantik mereka akan dilatih selama tiga minggu mengikut 'standard operating procedure' (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dalam kursus itu mereka diberi taklimat berhubung aspek perundangan dan batasan kuasa polis," katanya kepada pemberita selepas hadir perasmian persidangan PJP/KP/kOMDR.BDE.PGA/Komander dan komandan bil. 1/2012 di sebuah hotel di sini, Isnin.

Baru-baru ini kerajaan telah menjalankan langkah 'Strategi Lautan Biru' dalam meramaikan anggota polis di jalanan bagi mencegah jenayah dengan mengambil kakitangan agensi kerajaan seperti Rela dan JPAM.

Kaedah itu sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menurunkan kadar jenayah di negara ini untuk mencapai objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Ismail berkata walaupun telah diberi kuasa namun bukan sepenuhnya dan PDRM masih menjadi ketua dalam sesuatu rondaan bersama.

"Kita akan nilai bantuan mereka, kalau bantuan mereka memberi kesan yang baik kita akan laksanakan lebih lagi (rondaan bersama) kalau diperlukan," katanya selain menambah menyasarkan 60,000 penglibatan berbanding sebelum ini hanya 20,000 anggota.

Bagaimanapun, Ismail berkata tujuan sebenar rondaan bersama itu ialah untuk meningkatkan konsep 'omnipresence' atau kehadiran polis di kalangan masyarakat.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang hadir merasmikan persidangan tersebut, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan dan tuduhan liar kepada PDRM, beliau berkata pihaknya percaya PDRM membuat semua perkara dengan betul dan adil.

"Kementerian Dalam Negeri juga telah meletakkan seorang pemerhati untuk meninjau prestasi anggota PDRM," katanya.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu disertai ketua-ketua Polis Negeri, Komander Briged dan pegawai-pegawai kanan PDRM. -BERNAMA

Artikel Lain