suria

Nelayan Darat Turut Dipertimbang Terima Bantuan Perumahan - Noh Omar

KUALA LUMPUR: Nelayan sungai dan tasik yang tergolong dalam kategori nelayan darat turut dipertimbangkan untuk menerima bantuan perumahan seperti mana yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2012, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata nelayan berkenaan perlu memenuhi dua syarat yang ditetapkan kementerian, iaitu mesti mempunyai kad nelayan dan bot yang digunakan telah dilesenkan.

"Kerajaan bersetuju untuk menimbang supaya nelayan darat juga akan diberikan peluang untuk menerima bantuan perumahan melalui peruntukan RM300 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam belanjawan lalu.

"Jika memenuhi dua syarat ini, Insyaallah kita boleh pertimbangkan untuk memberi bantuan perumahan berjumlah maksimum RM10,000," katanya ketika menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong).

Noh berkata permohonan itu boleh dikemukakan melalui Persatuan Nelayan Kawasan masing-masing.

Mengenai saranan supaya nelayan darat diberikan kemudahan elaun sara hidup dan subsidi minyak seperti dinikmati nelayan laut, beliau berkata perkara itu boleh dipertimbangkan dengan kerajaan negeri mesti menerima pakai kaedah-kaedah perikanan sungai yang dikeluarkan kementerian itu dan dijadikan enakmen di negeri-negeri.

Noh berkata dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran ikan air tawar, kementerian telah memperkenalkan kawasan pembangunan Zon Industri Akuakultur dan pelaksanaan EPP4 Sistem Sangkar Bersepadu, menarik penglibatan pihak swasta dan mewujudkan program inkubator.

Beliau berkata dengan usaha itu, permintaan terhadap ikan air tawar mula mendapat perhatian luar negara di mana pada tahun 2008 sebanyak RM2.4 bilion eksport direkodkan selain beberapa pasaran berpotensi baru dikenal pasti seperti negara-negara Oceana, Kesatuan Eropah dan Asia Barat.

Katanya bekalan ikan air tawar juga telah diwajibkan kepada institusi kerajaan meliputi asrama sekolah, kolej, penjara, pusat serenti dan hospital dengan penyediaan menu ikan air tawar perlu disediakan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. -BERNAMA

Artikel Lain