suria

Mohd Sidek Perakukan Buku Karangan Pegawai Awam Terkemuka

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Isnin mencadangkan agar institusi latihan kepimpinan tempatan menggunakan buku berjudul "Taking the Road Less Travelled - A Journey of Self-Examination and Discovery" sebagai 'case-study' dan bahan rujukan pada sesi kepimpinan dan latihan mereka.

Beliau berkata, buku itu karangan Datuk Dr Mohd Shahari Ahmad Jabar, seorang pegawai perkhidmatan awam terkemuka, menjelaskan secara terperinci dua aspek kepimpinan yang cukup penting, iaitu kepimpinan beretika dan strategik.

"Beliau (Mohd Shahari) menekankan pentingnya prinsip yang dipegang erat dan istiqamah dalam proses membuat keputusan.

"Memelihara prinsip dan nilai seumpama itu merupakan pengenalan diri beliau semasa berkhidmat di kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Beliau percaya perjalanan hidup seseorang perlu dipandu oleh etika, nilai, dan tujuan murni, dan bukan motif rakus, atau berniat untuk mendapat pengiktirafan," kata Mohd Sidek dalam ucapan melancarkan buku tersebut di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), di sini.

Buku setebal 169-halaman itu mengisahkan pengalaman dan perjalanan Mohd Shahari sepanjang perkhidmatannya di Intan, Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC) dan di pelbagai lembaga syarikat.

Buku itu boleh didapatkan di kedai-kedai buku MPH di seluruh negara pada harga RM69. - BERNAMA

Artikel Lain