suria

Ketua & Anggota Kumpulan Robert Tee Diberkas Selepas Samun Kereta Mewah

KLANG: Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan "Robert Tee" yang mempunyai 20 rekod kesalahan lampau dan dua anggota kumpulannya ditahan di tempat letak kereta sebuah hotel di sini Sabtu lepas setelah menyamun dua buah kereta mewah bernilai kira-kira RM600,000 di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata suspek yang berumur antara 33 dan 34 tahun ditahan di tingkat dua dan empat tempat letak kereta di hotel di Pandamaran kira-kira 5.20 petang.

Beliau berkata sebelum itu, kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima arahan untuk menghala ke tempat letak kereta tingkat dua hotel berkenaan selepas mendapat maklumat terdapat sebuah kereta Mercedes Benz berwarna perak yang dilaporkan baru disamun di Setapak, Kuala Lumpur.

Kereta bernombor pendaftaran WTW 15 itu berjaya dikesan melalui sistem GPS, katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan di sini petang Isnin.

Beliau berkata setibanya di tempat letak kereta di tingkat dua hotel itu, anggota polis melihat dua lelaki keluar dari kereta berkenaan dan kedua-duanya kemudian dapat ditangkap.

"Pada masa yang sama, sebuah lagi kereta jenis BMW hitam bernombor pendaftaran palsu WSU 9168 yang juga disamun di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur telah memecut laju menghala ke tempat letak kereta di tingkat empat hotel yang sama sebelum seorang lelaki keluar dari kereta itu.

"Dia kemudian melarikan diri dengan memanjat tembok sebelum berpaut pada papan tanda hotel tersebut serta mengugut mahu terjun ke bawah.

"Lelaki yang sedang berpaut pada papan tanda itu telah mencampakkan sebuah beg silang berwarna hitam ke bawah dan selepas setengah jam, suspek berjaya dipujuk untuk menyerah diri serta berjaya diturunkan dengan bantuan pihak bomba," katanya.

Mohamad berkata siasatan mendapati suspek yang berpaut di papan tanda itu merupakan ketua kumpulan Robert Tee yang mempunyai rekod kesalahan termasuk samun bersenjata, curi kenderaan, ordinan darurat dan dikehendaki untuk lima kes samun di Klang, Kepong, Kuala Lumpur dan Johor.

Beliau berkata seorang lagi suspek didapati mempunyai tiga rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi tiada rekod dan ketiga-tiga mereka yang merupakan rakyat tempatan turut didapati positif dadah.

Mohamad berkata polis yang membuat pemeriksaan di dalam kereta BMW itu menemui sebuah beg mengandungi satu plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki Syabu, satu plastik lutsinar berisi 12 biji pil warna merah jambu disyaki Ekstasi, satu foil warna merah mengandungi 10 biji pil disyaki Eramin 5, dua bilah parang, sebilah pisau dan empat pemutar skru.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam beg sandang yang dicampak seorang suspek pula menemui wang tunai RM4,607, cek CIMB Bank bernilai RM2,000, kad ATM, MyKad, dua bentuk cincin berwarna kuning dan satu anak kunci kereta.

"Siasatan mendapati kumpulan ini aktif sejak 2008 di sekitar Lembah Klang dan kami sedang mengesan saki baki anggota kumpulan ini yang dipercayai masih bebas.

"Sekurang-kurangnya lima kes samun boleh diselesaikan dengan penangkapan tiga suspek ini," katanya.

Mohamad berkata ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Mac ini untuk siasatan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cuba bunuh diri. - BERNAMA

Artikel Lain