suria

Dua Lelaki Myanmar Ditemui Berlumuran Darah

GEORGE TOWN: Dua lelaki warga Myanmar ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan kecederaan di badan di sini malam Ahad dipercayai akibat bergaduh sesama sendiri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dua lelaki berusia 24 tahun dan 26 tahun itu ditemui di tingkat bawah blok 42B Flat Sri Saujana Maccallum, pada pukul 11.55 malam oleh penduduk di situ.

"Semasa ditemui mangsa pertama yang berusia 24 tahun patah tangan kanan dan kaki kanan manakala rakannya patah kaki kiri serta cedera di kepala," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Katanya mereka dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Beliau berkata menurut beberapa saksi, dua lelaki berkenaan dilihat membuat bising dan bercakap kuat antara satu sama lain di tepi tangga di tingkat tiga blok yang sama.

"Mereka dikatakan menjerit antara satu sama lain sebelum ditemui berlumuran darah di tingkat bawah," katanya.

Gan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan tetapi polis tidak menolak kemungkinan mereka bergaduh.

"Setakat ini polis belum mengklafikasikan kes itu menurut mana-mana seksyen kerana kita belum mendapat keterangan daripada dua lelaki berkenaan berikutan mereka masih menerima rawatan di HPP," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain