suria

Dakwaan Azmin: Saya Dilihat Sebagai Satu Ancaman – Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Bekas exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan beliau sebagai ancaman kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

ADUN Gombak Setia itu berkata, ia berikutan dakwaan Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, yang dilemparkan terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Jelasnya, antara dakwaan terbabit pernah ditimbulkan oleh beberapa pemimpin Umno negeri dan telah pun dikeluarkan kenyataan mengenainya serta menjawab berulang kali di DUN.

“Kenapa baru sekarang (dakwaan) ditimbulkan? Kenapa baru sekarang untuk menjatuhkan dan ‘menggodam’ Hasan Ali?

“Bagi saya, tuduhan jahat yang dilakukan oleh YB (Yang Berhormat) (Azmin) mungkin juga akibat kerisauan yang dialami YB dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat terhadap kejayaan siri jelajah politik saya.

“Saya mungkin dilihat sebagai satu ancaman,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, Isnin.

Dr Hasan berkata, sambutan masyarakat terhadap siri jelajah beliau di luar jangkaan. Ini menunjukkan betapa masyarakat mulai muak dan sangsi dengan Pakatan Rakyat.

“Ini terutama pimpinan PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang sentiasa terpalit dengan masalah amanah dan moral yang serius termasuk YB Bukit Antarabangsa (Azmin).

Beliau menambah, tindakan Azmin mempersoalkan kredibiliti beliau di DUN baru-baru ini adalah secara langsung mempertikaikan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat.

“Mungkin beliau sendiri meragui kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dalam menerajui pentadbiran negeri Selangor. Sebab itu beliau memilih untuk menyerang secara melulu kepada bekas exco (Dr Hasan),” katanya.

Ketika ditanya sama ada ia merupakan ‘senjata’ Azmin untuk menyerang beliau dan Abdul Khalid, Dr Hasan berkata: “Mungkin ada benarnya.”

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdul Khalid yang secara jelas mengesahkan tuduhan yang dibuat Azmin adalah tidak berasas.

“Dan seluruh tindakan saya ketika menjadi exco adalah sebenarnya mengikut peraturan dan piawaian yang ditetapkan,” katanya lagi.

Artikel Lain