suria

74,000 Lesen Pengendali Pengangkutan Awam Diedar April

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74,000 lesen pengendali untuk teksi, bas dan lori sedang disiapkan dan boleh diedarkan kepada pengusaha mulai 1 April ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Isnin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pengeluaran lesen yang boleh dituntut di empat wilayah ibu pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu dikeluarkan hasil permohonan segera ekoran penguatkuasaan lesen pengendali oleh suruhanjaya itu sejak 31 Jan lepas.

"Ini merupakan satu mekanisme bagi tujuan mengawal selia pengusaha pengangkutan awam dan kenderaan barangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Dengan pelaksanaan lesen pengendali ini, tempoh sah laku maksimum lesen adalah tujuh tahun dengan pemohon boleh memilih untuk memperbaharui lesen pengendali mengikut tahun yang dikehendaki mereka iaitu, sama ada tiga, lima atau tujuh tahun," katanya ketika menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai).

Mohd Hatta ingin tahu kenapa pembaharuan permit teksi perlu dilakukan setiap tahun berbanding 10 tahun sebelum ini dan apakah SPAD mempunyai kemampuan melayani urusan pembaharuan permit itu di pejabatnya.

Kini terdapat lebih 90,000 pengendali di negara ini dengan lebih 300,000 kenderaan yang dimiliki.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hatta bilakah proses pengalihan permit daripada syarikat kepada individu akan berlaku dan sampai bila, Ahmad berkata kerajaan sudah mengeluarkan lesen yang berkaitan kepada syarikat dan individu.

Beliau berkata sekiranya lesen berkaitan telah dikeluarkan, kerajaan tidak boleh menarik kembali lesen itu kecuali mereka melanggar syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Ahmad berkata ketika ini terdapat 40,913 teksi bajet dan kereta sewa di seluruh negara, 33,911 daripadanya beroperasi di Lembah Klang di mana daripada jumlah itu 18,092 adalah kereta sewa milik persendirian.

"Ini menjadikan 53 peratus daripada pemilikan kereta sewa adalah milik individu berbanding 47 peratus dimiliki syarikat.

"Jadi, bagaimana mungkin lesen sudah diberi hendak ditarik balik, apa akan jadi kepada syarikat yang telah membuat pelaburan yang begitu banyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain