suria

Sindiket Pemalsuan Kad Kredit Di Pulau Pinang Tumpas

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan kad kredit melibatkan kerugian lebih RM1 juta selepas menahan lima lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di lokasi sekitar pusat bandar raya ini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Superitendan Roslee Chik berkata, hasil daripada maklumat awam dan risikan selama enam bulan sepasukan polis dari bahagian operasi JSJK Ibu Pejabat Polis Kontijen memberkas lelaki berusia 20 hingga 38 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam proses pemalsuan kad kredit.

"Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu adalah 18 keping kad kredit pelbagai bank, kad sim telefon pelbagai jenis, enam buah telefon bimbit, mesin faks, lapan keping surat penyata kad kredit serta pelbagai dokumen berkaitan.

"Salah seorang daripada mereka adalah pegawai bank. Kesemua suspek akan ditahan reman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Bagaimanapun polis masih memburu seorang lagi anggota sindiket iaitu, Ooi Seang Hock, berusia 30-an bagi membantu siasatan.

Roslee berkata, setakat ini polis telah menerima laporan daripada tiga buah bank dan enam orang awam berhubung kes itu.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat permohonan kad kredit kepada bank menggunakan data maklumat mangsa yang diperoleh dari borang permohonan kad kredit asal mangsa yang pernah dihantar kepada bank melalui agen kad kredit. Sindiket terbabit akan membuat permohonan baru dengan membuat beberapa pengubahsuaian pada maklumat mangsa antaranya menukarkan nombor telefon kepada nombor telefon sindiket itu dan alamat penerimaan kad kredit.

Polis menasihati orang awam yang ingin membuat permohonan kad kredit supaya tidak menggunakan perkhidmatan agen dan memastikan salinan kad pengenalan dipalang semasa penyerahan kepada pihak bank dan tidak melayan panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai bank.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan disebat atau denda jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain