suria

Shahrizat Kekal Ketua Wanita Bukti Perpaduan Dalam Umno

KOTA KINABALU: Keputusan mengekalkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno tidak akan memberi ruang kepada pembangkang untuk mengeksploitasikan perpaduan anggota dalam Umno, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, keputusan itu merupakan langkah yang baik dalam membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini satu petanda yang baik dari segi jentera kita di peringkat akar umbi kerana wanita merupakan nadi kita dalam perjuangan memenangkan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bayaran khas kepada bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) cawangan Sabah di sini, Sabtu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi Umno Negeri, juga berkata keputusan itu baik dan bijak bagi memastikan Wanita Umno terus bersatu padu dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno, mengumumkan Shahrizat dikekalkan sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno kerana Shahrizat dipilih oleh anggota-anggota pergerakan itu sebagai ketua.

Pada 11 Mac lepas, Shahrizat mengumumkan untuk melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini, namun beliau kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan BN.

Isu peletakan jawatan Shahrizat berbangkit apabila suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation didakwa menyalah guna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging.

Artikel Lain