suria

Peruntukan RM519 Juta Dalam Program Dan Aktiviti Perkasa Umat Islam

MELAKA: Kerajaan memperuntukkan RM519 juta dalam melaksanakan program dan aktiviti memperkasakan umat Islam di seluruh negara pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, peruntukan itu sebagai elaun kepada seramai 33,664 guru Kafa, 14,254 imam dan 3,702 guru Takmir di seluruh negara.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memberi komitmen menyalurkan peruntukan kewangan dalam memastikan aktiviti pendidikan dan pengimarahan masjid di negara ini berjalan dengan lancar," katanya semasa berucap di Multaqa Guru Takmir, Guru Kafa dan Pegawai Syarak peringkat negeri Melaka di Seri Negeri di sini Ahad.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merasmikan majlis sehari itu.

Jamil berkata, peruntukan besar kepada guru dan pegawai syarak berkenaan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih terhadap sumbangan dan pengorbanan dalam menyampaikan hasrat serta dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi.

Beliau berkata, pengiktirafan kerajaan kepada mereka sebagai pendakwah yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam masyarakat serta menyumbang kepada arus pembangunan negara.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, peranan guru Kafa dan Takmir itu amat berkesan dalam membimbing masyarakat di Melaka supaya mencintai nilai murni yang berteraskan Islam berlandaskan kepada hukum-hakamnya.

Beliau mahukan umat Islam di negeri ini tidak terkeliru dengan pandangan sesetengah pihak termasuk tekanan dunia barat yang menggunakan hak asasi dalam perjuangan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain