suria

Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah

PORT DICKSON: Polis menembak mati tiga penjenayah bersenjatakan parang di sebuah rumah penduduk kampung di Linggi, dekat sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata dalam kejadian pukul 5.00 pagi itu, sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan kumpulan tiga lelaki itu yang sedang memotong pagar sebuah rumah di kawasan tersebut.

"Anggota polis kemudian menghampiri penjenayah berkenaan dan apabila dicabar dan menyedari kehadiran polis, penjenayah terbabit cuba menyerang anggota polis yang bertugas.

"Anggota polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai ketiga-ketiga penjenayah terbabit yang mati di situ," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya hasil pemeriksaan, polis menemui tiga bilah parang panjang, pemutar skru, pemotong pagar, sarung tangan serta topeng muka pada penjenayah berkenaan.

"Polis turut merampas dua buah motosikal dipercayai digunakan penjenayah tersebut berhampiran tempat kejadian.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan polis percaya penjenayah itu merupakan warga asing berusia dalam lingkungan 20an," katanya.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain