suria

Polis Kesal Ibu Bapa Sifatkan Kehilangan Anak Gadis Satu Penculikan

KUALA LUMPUR: Polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.

"Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.

"Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini," katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square, Jumaat.

Ismail berkata bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.

Beliau berkata, meskipun ia masalah sosial, polis tetap sedia memberi kerjasama bagi membendung penularan kejadian seperti ini. "Polis juga bersedia untuk berjumpa dengan pihak tertentu atau pihak atasan seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan sebagainya supaya institusi kekeluargaan dapat dimantapkan dan mampu diuruskan secara lebih kemas," katanya.

Sebelum ini, seorang pelajar, Nornabila Mat Yaacob, 15, dilaporkan hilang dan didakwa diculik selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit di Jerantut pada 19 Mac lepas, namun dia kemudian ditemui bersama teman lelakinya di Taman Tas, Kuantan.

Pada 18 Mac lepas, seorang lagi gadis, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilapor hilang dan disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan dan setelah ditemui, dia mengaku dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun. Terdahulu, dalam acara turun padang itu, Ismail sempat beramah mesra dengan pengunjung pusat beli belah, termasuk pelancong asing, untuk mendapat maklum balas mengenai tahap perkhidmatan polis dan kepuasan mereka dengan kehadiran anggota polis di kawasan tumpuan awam.

Katanya, menerusi pendekatan itu juga, beliau percaya dapat menyebarkan mesej 'Polis bersama rakyat' termasuk kepada masyarakat antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain