suria

Lapan Wanita Vietnam Mangsa Pemerdagangan Migran Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Berkahwin dengan lelaki tempatan atau menjadi pelacur itu adalah dua pilihan yang diberi kepada wanita-wanita Vietnam mangsa pemerdagangan orang bagi melangsaikan beban hutang mereka memasuki negara ini.

Taktik sindiket pemerdagangan orang itu terbongkar apabila polis menyelamatkan lapan wanita Vietnam berusia 17 hingga 37 tahun dalam serbuan di sebuah rumah flat di Taman Sunway, Batu Caves di sini, awal hari ini.

"Kesemua wanita itu dikurung di rumah berkenaan sejak sebulan lepas untuk dijadikan pelacur," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata dalam serbuan hasil maklumat Polis Vietnam yang diperoleh semasa persidangan mengenai pencegahan pemerdagangan orang di sini itu, polis turut menahan seorang wanita Vietnam berusia 23 tahun dan tiga lelaki tempatan berusia antara 48 dan 60 tahun yang dipercayai dalang dalam proses mencari jodoh dan menguruskan kemasukan mereka ke negara ini.

Abdul Jalil berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri persidangan "Program Pembinaan Kapasiti: Mengenai Pencegahan Penyeludupan Migran dan Migrasi Haram di Asia Tenggara" di sini, Jumaat.

Seminar dua minggu itu disertai 21 peserta dari tujuh negara Asia Tenggara, iaitu Vietnam, Myanmar, Laos, Indonesia, Thailand, Filipina dan Malaysia.

"Semasa persidangan, kedutaan mereka (Vietnam) memaklumkan kepada anggota polis Vietnam yang berada dalam persidangan ini dan mereka menyalurkan maklumat itu kepada kami (PDRM)," katanya.

Beliau berkata dalam serbuan di rumah itu, polis turut merampas 12 keping pasport, dipercayai milik wanita Vietnam yang dalam proses ke negara ini serta dokumen pendaftaran perkahwinan.

"Kesemua mangsa pada mulanya ditawarkan bekerja sebagai pelayan dengan gaji lumayan, tetapi apabila tiba di sini mereka diberi pilihan sama ada menjadi pelacur atau berkahwin dengan lelaki tempatan bagi melangsaikan 'debt bondage' sebanyak RM10,000 kerana agen menguruskan tiket perjalanan mereka," katanya.

Abdul Jalil berkata hasil soal siasat terhadap kesemua mangsa terbabit mendapati seorang daripada mereka telah bersetuju mengahwini lelaki tempatan kerana tidak mahu dijadikan pelacur.

Beliau berkata sindiket itu juga akan menguruskan semua urusan perkahwinan termasuk menyediakan sijil kahwin kepada wanita Vietnam yang bersetuju dikahwinkan dengan lelaki tempatan.

"Tiga rakyat tempatan itu ditugaskan mencari lelaki tempatan yang mahu mengahwini wanita Vietnam berkenaan dengan bayaran RM18,000 hingga RM20,000 seorang," katanya.

Abdul Jalil berkata kesemua wanita Vietnam yang diselamatkan itu kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Sehubungan itu, beliau meminta lelaki tempatan yang berhasrat atau ditawarkan berkahwin dengan wanita Vietnam supaya tidak mudah tertipu kerana wanita berkenaan mungkin mangsa pemerdagangan migran.

Mengenai seminar itu, Abdul Jalil berkata banyak pengetahuan mengenai kaedah siasatan berkaitan kes pemerdagangan orang dapat dikongsi di kalangan peserta. -BERNAMA

Artikel Lain