suria

Tiga Beranak Didakwa Memperdagang Pembantu Rumah Kemboja

KUALA LUMPUR: Seorang ibu dan dua anak perempuannya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memperdagangkan bagi tujuan eksploitasi seorang pembantu rumah warga Kemboja, bulan lepas.

Soo Ah Lai, 59, didakwa memperdagangkan Chhum Pov, 28, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain terhadap wanita itu di No. 139, Jalan 2/62, Bandar Manjalara Kepong, di sini pada 3.30 petang, 18 Februari lepas.

Dua anak perempuannya, Yap Siew Ling, 37, dan Yap Siew Lee, 30, masing-masing didakwa atas pertuduhan yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbi Hasan membenarkan Soo, Siew Ling dan Siew Lee masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Beliau juga membenarkan ketiga-tiga kes itu dibicarakan secara serentak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli menawarkan jaminan RM20,000 terhadap setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin kerana kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Nor Azri Mohd Arif yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana Soo tidak bekerja manakala seorang anaknya itu adalah ibu tunggal dan seorang lagi adalah suri rumah. -BERNAMA

Artikel Lain