suria

Kegiatan Curi Kereta 'Mat Solo Kancil' Tumpas

KUALA LUMPUR: Kegiatan 'Mat Solo The Kancil Man' yang aktif mencuri kereta di sekitar ibu negara akhirnya lumpuh selepas seorang lelaki tempatan diberkas polis di Pantai Dalam, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata suspek diberi gelaran itu kerana melakukan kegiatan jenayahnya secara berseorangan.

Beliau berkata suspek dipercayai terlibat dalam 50 kes curi kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Kancil di sekitar Wangsa Maju, Pudu, dan Lembah Pantai sejak tahun lepas.

"Susulan dari tangkapan itu, polis menjumpai sembilan buah Perodua Kancil dan sebuah Proton Iswara yang dilaporkan hilang di kawasan yang berbeza," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Wan Abdul Bari juga berkata polis berjaya menumpaskan kegiatan samun kereta dan pecah rumah di kawasan Brickfields yang didalangi dua lelaki tempatan ekoran penahanan dua suspek berumur 36 dan 37 tahun di Sri Petaling pada 11 Mac. Suspek ditahan dalam sebuah kereta Honda Accord ketika polis melancarkan gerakan memburu mereka selepas dimaklumkan berlaku satu kejadian samun di kawasan itu.

"Hasil dari maklumat tersebut, suspek diekori polis selepas mendapati kereta yang dinaiki suspek itu dilaporkan hilang dalam kes samun kereta terbabit.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, kita telah menyelesaikan 19 kes samun dan pecah rumah di Brickfields," katanya.

Wan Abdul Bari berkata suspek juga memiliki rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Lain