suria

Jenazah Mazlan Nordin Selamat Disemadikan

KUALA LUMPUR: Jenazah tokoh wartawan Tan Sri Mazlan Nordin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pagi Jumaat dengan dihadiri anggota keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan wartawan.

Turut hadir bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya, Pengerusi Media Prima Datuk Johan Jaaffar dan Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan Mokhtar Hussain.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di rumah anak perempuannya di Seksyen 16 Petaling Jaya.

Mazlan, 86, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 4.15 petang semalam. Allahyarham adalah bekas Pengerusi Bernama dan juga Ketua Pengarang pertama agensi berita nasional itu.

Zainuddin berkata dunia kewartawanan merasai kehilangan besar berikutan pemergian arwah yang disifatkan beliau sebagai wartawan luar biasa yang masih terlibat dengan dunia penulisan sehingga ke akhir hayatnya.

"Rencana terakhir hasil tulisan Allahyarham akan dikeluarkan dalam kolum Mingguan Malaysia selepas tiga hari pemergian arwah ini," katanya.

"Arwah merupakan wartawan yang lengkap dengan ilmu pengetahuan, mempunyai komitmen yang tinggi serta mengetahui segala perkembangan terkini," kata Zainuddin ketika ditemui di tanah perkuburan itu.

Ibrahim pula menyifatkan allahyarham sebagai seorang yang sukar dicari ganti kerana semangat dan kehebatannya terus terserlah sehingga tidak wujud istilah bersara bagi arwah.

Allahyarham meninggalkan empat anak lelaki dan seorang perempuan serta empat orang cucu. -BERNAMA

Artikel Lain