suria

Gadis Hilang Di Johor, Mungkin Kecil Hati Kerana Teguran Ibu

JOHOR BARU: Seorang gadis, Nurul Fatin Jaslan, 21, dilapor hilang setelah tidak pulang dari tempat kerjanya di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, sejak 10 Feb lepas.

Endon Ahmad, 58, berkata pada hari itu, anaknya yang bekerja sebagai kerani di pusat terapi kesihatan meminta kebenaran untuk pulang awal daripada majikannya tetapi dia tidak pulang ke rumah.

"Anak lelaki saya pergi mencarinya ke kedai itu, tetapi majikannya kata Fatin sudah pulang malah meminta kebenaran untuk pulang awal sejam iaitu kira-kira pukul 10 malam dengan alasan ada masalah keluarga," kata Endon.

Beliau yang ditemui di rumahnya di Jalan Muafakat, Kampung Pasir Putih hari ini berkata pada hari itu, Fatin keluar bekerja pada pukul 10 pagi dengan memakai baju Punjabi berwarna hijau dan kuning serta berseluar panjang hitam.

Sehari sebelum kehilangan Fatin, Endon berkata beliau menegur tindakan anaknya itu yang tidak ke kelas belajar bahasa Inggeris sebaliknya pergi menonton wayang.

Endon membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pasir mengenai kehilangan anaknya itu dua hari selepas anaknya tidak pulang ke rumah.

"Fatin mungkin berkecil hati kerana teguran saya itu. Setiap malam saya menangis kerana terlalu rindukan Fatin. Harap dia segera pulang dan lupakan salah faham yang terjadi. Malah semalam saya bermimpi dia pulang ke rumah dan memeluk saya.

"Setiap hari tanpa jemu saya akan mendail nombor telefon Fatin biarpun ia tidak dapat dihubungi, dengan harapan yang menggunung dia akan menjawab panggilan saya," katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Roslan Zainuddin mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu dan meminta orang ramai menghubungi Endon di talian 017-7437882 atau ketua balai Taman Pasir Putih SM Mohamad Rafi Md Nor di talian 012-7408338 atau 07-2524122 sekiranya mempunyai maklumat mengenai Fatin. - BERNAMA

Artikel Lain