suria

Cadangan Subjek Pilihan Raya Diperkenalkan Di Sekolah Perlu Kajian - Puad

SEREMBAN: Kementerian Pelajaran menyambut baik cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar subjek mengenai pilihan raya diperkenalkan di sekolah bertujuan membantu pelajar memahami sistem pemerintahan negara.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ia memerlukan satu kajian lebih menyeluruh oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian itu.

"Ini kerana ia melibatkan guru, jadual dan kita kena lihat kita nak mula mengajar itu di peringkat mana, rendah atau menengah. Mungkin kita boleh fikirkan dibuat secara merentas kurikulum iaitu ia menumpang subjek-subjek sedia ada, sama ada subjek sejarah, kajian tempatan dan sebagainya.

"Mungkin kita boleh masukkan elemen itu di situ tapi pada saya, ia perlukan satu kajian yang menyeluruh supaya apabila dilaksanakan nanti ia benar-benar berkesan dan saya rasa mungkin tujuannya lebih kepada untuk menimbulkan kefahaman dan kesedaran," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Terdahulu, beliau merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Wawasan, Seremban 2. Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan Datuk Abdul Halim Abdul Razak. Pada Khamis, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata subjek mengenai pilihan raya itu bukan satu program politik untuk menceritakan ideologi mahupun kebaikan sesuatu parti politik tetapi matlamat utamanya adalah untuk mencetuskan kesedaran dan perasaan sayang remaja kepada negara.

Puad juga berkata Kementerian Pelajaran akan berusaha memastikan sekolah pedalaman mempunyai asramanya sendiri bagi mengelak masalah keciciran pelajar.

"Salah satu punca keciciran pelajar terutamanya di luar bandar dan pedalaman ialah ketiadaan asrama desa. Sudahlah sekolah itu jauh di pedalaman, ada juga pelajar yang datang sekolah pedalaman itu pun dari kampung yang berjauhan dan bersepah-sepah.

"Oleh kerana itu, ada sesetengah pelajar itu mereka datang ke sekolah berjalan kaki dan ini menyebabkan mereka kadang-kadang datang ke sekolah dan kadang-kadang tidak datang ke sekolah terutama apabila hari hujan.

"Ini salah satu faktor yang kita rasa menyebabkan pelajar ini tidak dapat diberikan penumpuan. Tapi, bila pelajar ini tinggal di asrama, guru boleh memberikan tuisyen tambahan atau motivasi dan pelajar ini tidak ada gangguan lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain