suria

Tony Pua Hanya Ingin Jadikan KLIA2 Isu Politik - Kong

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dan Ketua Publisiti DAP Tony Pua sepatutnya mengajukan soalan tentang pembinaan KLIA2 kepada Malaysia Airport Holdings Berhad, bukan menuduh beliau cuba menyembunyikan sesuatu.

"Tiada apa yang hendak saya sembunyikan. Segala apa yang saya tahu, semuanya dibekalkan oleh MAHB. Ia sebuah syarikat senaraian awam, mempunyai lembaga pengarah sendiri, bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya dan Suruhanjaya Sekuriti. Ia juga membiayai projek itu.

"Malah, MAHB menyiarkan maklumat tentang projek itu dalam laman webnya. Ia juga menyiarkan surat berkaitan projek berkenaan antara pihaknya dengan syarikat penerbangan. Perkara ini telah dijelaskannya sebelum ini. Sekiranya beliau masih tidak berpuas hati, silalah tanya mereka sekali lagi," kata beliau kepada Bernama.

Kong berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pua pada sidang akhbar Rabu bahawa Kementerian Pengangkutan mengelak daripada menyatakan kos pembinaan KLIA2, dan ini menunjukkan ada sesuatu yang hendak disembunyikannya.

Pua berkata beliau bertanya kepada Kong kenapa lapangan terbang itu dibina di tempat lain daripada tempat asalnya, tetapi menteri itu hanya menjawab keputusan tersebut dibuat berdasarkan "KLIA Blueprint" bertarikh Disember 2008, yang disifatkan Pua sebagai "sikap acuh tak acuh dan tidak bersedia untuk memberi penjelasan".

Pua mendakwa peningkatan besar dalam kos pembinaan KLIA2 daripada RM1.7 bilion kepada RM3.9 bilion untuk kerja tanah yang dibuat di tapak terminal baru syarikat penerbangan tambang murah itu di KLIA West, juga memungkinkan peningkatan kos berikutan pembinaan sebuah menara kawalan tambahan dan keadaan rupa bumi yang tidak sesuai dengannya.

Pua seterusnya mendakwa perkara itu merupakan isu tadbir urus yang serius, yang perlu ditangani Menteri Pengangkutan. Bagaimanapun, Kong berkata: "Tiada apa yang hendak saya sembunyikan. Saya bukan jurutera lapangan terbang atau juruperunding bagi projek itu dan segala maklumat yang ada pada saya tentang projek ini, diberikan oleh MAHB."

"Apa yang perlu disembunyikan. Sekiranya Tony Pua berpendapat ada perkara yang tidak kena, ada agensi yang boleh menyiasatnya. Tiada apa yang hendak saya sembunyikan. Bagi saya, dia hanya ingin bermain politik". - BERNAMA

Artikel Lain