suria

Tindakan Boikot PSC Mengenai Lynas Dibuat Kerana Takutkan Kebenaran

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang ingin memboikot Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) Mengenai Projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang adalah tindakan yang takut kepada kebenaran.

Anggota Parlimen Jempol Datuk Lilah Yassin berkata pembangkang sanggup berbuat demikian kerana bimbang jika jawatankuasa berkenaan dapat membuktikan bahawa projek Lynas sebenarnya selamat.

"Kalau dia masuk jawatankuasa ini dan kebenaran itu terserlah maka sudah pasti undi mereka akan kurang kerana selama ini mengatakan projek itu tidak selamat," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau mengulas kenyataan anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh pada Selasa yang mengatakan bahawa pembangkang tidak akan menyertai PSC tersebut kerana menganggapnya tidak adil.

Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman sependapat dengan Lilah apabila mengatakan tindak tanduk pembangkang itu menunjukkan bahawa mereka tidak ikhlas untuk mencari kebenaran sebaliknya hanya ingin memanipulasi isu demi kepentingan sendiri.

Menurut Tajuddin tindakan memboikot PSC berkenaan sebenarnya adalah strategi pembangkang untuk menggagalkan usaha kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut.

"Kalau mereka turut serta dalam jawatankuasa ini mereka kena terima segala keputusan atau kebenaran yang dibuktikan.

"Jadi untuk elak terperangkap mereka buat keputusan untuk boikot supaya nanti bila ada keputusan positif dia boleh tuduh itu keputusan kerajaan...Barisan Nasional dah manipulasi," katanya.

Sementara itu anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh pula berkata jika benar pembangkang kononnya ingin memperjuangkan kebimbangan rakyat terhadap projek Lynas maka adalah perlu bagi mereka untuk menyertai jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata ini kerana PSC akan menjalankan siasatan secara telus daripada semua sudut selain melihat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan demi kepentingan bersama. - BERNAMA

Artikel Lain