suria

Setiausaha Agung PBB Puji Gagasan 1Malaysia Sebagai Visi Hebat

PUTRAJAYA: Gagasan 1Malaysia ialah satu visi yang hebat dalam menggalakkan perpaduan bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga di rantau ini, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon, Khamis.

Beliau berkata gagasan itu dapat membantu dalam meningkatkan toleransi terhadap perbezaan agama, kebudayaan dan tradisi kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan menganut pelbagai agama serta mengamalkan kebudayaan berlainan.

"Inilah sebenarnya apa yang PBB cuba galakkan di seluruh dunia, dan saya amat menghargai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya pada sidang media bersama selepas mengadakan perjumpaan dengan Najib, di sini.

Ban berkata sepanjang lawatannya ke sini, beliau berasa amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Malaysia di bawah kepimpinan Najib daripada segi politik, kematangan demokrasi dan juga pembangunan sosio-ekonomi.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap komitmen Malaysia, terutamanya dalam pelbagai misi pengaman, dan berkata negara telah menghantar 20,000 pemuda dan pemudi untuk misi pengaman.

"Saya amat menghargai dan menghormati pengorbanan besar yang dibuat ini; saya dengan penuh takzim ingin menyampaikan rasa kagum dan hormat saya kepada keluarga mereka dan kerajaan Malaysia," katanya.

Ban, yang tiba pada Rabu untuk lawatan rasmi dua hari, berkata Malaysia adalah sebuah negara membangun tetapi tahap pencapaian pembangunannya amat mengagumkan dan ini boleh dikongsi dengan negara lain.

Beliau berharap Malaysia akan terus memaparkan kebijaksanaan sedemikian serta iktibar dan pengalaman kepada banyak negara lain bukan sahaja di rantau ini tetapi juga negara di luar lingkungan rantau ini.

"Saya dengan penuh ikhlas berharap penambahbaikan proses pilihan raya akan membawa kepada sistem yang benar-benar telus dan berwibawa yang akan memuaskan hati semua rakyat Malaysia," katanya.

Ban berkata beliau berharap kerajaan Malaysia akan terus sudi berkongsi idea, pengalaman, komitmen dan sokongan dalam menangani pelbagai kesulitan dan cabaran di dunia.

Kemudiannya, pada sesi soal jawab, Ban berkata beliau berharap pembaharuan dalam pemerintahan tentera di Myanmar akan membantu memastikan pilihan raya yang telus pada bulan depan.

Ban berkata PBB sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang-pemegang amanah untuk memastikan pilihan raya itu diadakan dengan penuh berwibawa, demokrasi, terbuka dan telus.

Mengenai perancangan Korea Utara untuk melancarkan roket bulan depan, beliau melahirkan kebimbangan mengenai perkara itu dan berkata beliau akan membincangkannya pada Sidang Kemuncak Nuklear Seoul minggu depan.

"Saya akan bincangkan isu ini dengan presiden Republik (Korea Selatan) di Seoul dan saya juga akan bincangkannya dengan pemimpin-pemimpin lain yang menghadiri sidang kemuncak nuklear itu," katanya.

Korea Utara yang merupakan negara kuasa nuklear telah mengumumkan akan melancarkan sebuah roket pada bulan depan untuk menempatkan satelit ke dalam orbit, satu langkah yang dianggap oleh Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai helah untuk melakukan ujian misil jarak jauh. - BERNAMA

Artikel Lain