suria

Pengikut Twitter, Facebook Najib Ke 500,000 Dan 1 Juta Berpeluang Minum Petang Bersama PM

KUALA LUMPUR: Pengikut Twitter dan Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ke 500,000 dan ke satu juta berpeluang bertemu dan minum petang bersama beliau pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah sebagai tanda terima kasih beliau terhadap sokongan rakan media sosialnya sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Najib berkata, sepanjang tempoh itu, media sosial dalam talian telah berkembang menjadi satu landasan yang penting bagi dirinya untuk berhubung dengan seramai mungkin rakyat, di mana sebelum ini keupayaan untuk berkomunikasi secara langsung adalah terhad.

"Saya tertarik melihat peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang mengikuti saya di Twitter dan Facebook setiap hari, di mana tidak lama lagi bilangan ini akan mencapai 500,000 di Twitter dan satu juta di Facebook.

"Selepas saya membuat tweet malam tadi, saya telah berfikir seketika. Dan ini adalah cadangan saya: Saya ingin bertemu dengan pengikut Twitter saya yang ke 500,000 dan pengikut Facebook saya yang ke satu juta," katanya dalam entri terbaru di blog www.1Malaysia.com.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, beliau ingin meluangkan masa bersama-sama mereka berbual sambil minum petang, di mana maklumat lanjut mengenai pertemuan itu akan diumumkannya kemudian.

Perdana Menteri dalam Tweetnya sebelum ini, memaklumkan jumlah pengikut beliau di laman sosial Twitter dan Facebook masing-masing mencecah hampir 500,000 dan sejuta orang. "Saya akui, memang tidak mudah untuk berhubung dengan semua orang lebih-lebih lagi kerana ramai yang mengharapkan balasan mesej daripada saya, tetapi saya faham perasaan anda," kata Najib.

Sambil menjanjikan lebih banyak peluang akan disediakan untuk pengikutnya di Facebook dan Twitter, Perdana Menteri turut mengharapkan rakan-rakan onlinenya untuk terus berkomunikasi dengan beliau dengan menyokong usaha-usahanya untuk membawa kesejahteraan kepada negara. - BERNAMA

Artikel Lain