suria

Malaysia Terus Sokong Usaha Perubahan PBB - Anifah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyokong kuat usaha memantapkan serta perubahan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah kepimpinan setiausaha agungnya Ban Ki-moon, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Katanya, walaupun ada perbezaan namum aspirasi Malaysia dan PBB adalah sama iaitu memenuhi keperluan rakyat dan sekiranya bersatu-padu boleh membawa kesan dramatik dan perubahan bagi menghadapi segala cabaran.

"PBB mencerminkan aspirasi bersama untuk keselamatan dan keamanan antarabangsa berkekalan. Kini kita perlu mengambil langkah ke depan dan memberi mandat kepada PBB supaya mencipta semula diri dalam bidang penting supaya lebih melengkapkan diri bagi menangani cabaran masa kini dan masa depan.

"Kita berkumpul di sini dengan berlatar belakang perubahan dan cabaran dan walaupun kita ada perbezaan tetapi aspirasi kita adalah sama," katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam sempena lawatan dua hari Ban ke Malaysia, di sini malam Rabu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah timbalannya, A. Kohilan Pillay dan Ketua Setiuasaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Ban, yang diiringi oleh isterinya Ban Soon-taek dan delegasi pegawai kanan dan staf PBB, tiba di Malaysia hari ini, untuk lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada 1 Jan 2007.

Anifah berkata, Malaysia memperakui perubahan berkesan secara am merupakan tugas berat dan lebih mencabar bagi PBB memandangkan kepelbagaian keanggotaannya dan pelbagai isu-isu.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa masa sudah berubah dan kita perlu berubah mengikut waktu bagi memastikan 'survival' kita dan PBB," katanya.

Sebagai setiausaha agung, Ban memberi keutamaan dalam menggalakkan pembangunan mapan, memperkasakan wanita, menyokong negara yang menghadapi krisis atau tidak stabil, menjana momentum baru dalam pelucutan senjata, pengawalan senjata, pengawalan senjata nuklear dan memperkasakan badan dunia itu. - BERNAMA

Artikel Lain