suria

Felda Tidak Eksport Barang Ke Israel

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pembangkang bahawa Felda menerusi anak syarikatnya iaitu Felda-Iffco Sdn Bhd (FISB) mengeskport produk mereka ke Israel.

Sebaliknya Ahmad menjelaskan bahawa FISB hanya menggunakan pelabuhan Ashdod di Israel bagi membuat penghantaran produknya ke Palestin.

Katanya FISB mula membuat penghantaraan ke Palestin pada Mac 2010 dan penghantaraan terakhir dibuat pada 9 Disember 2011, membabitkan nilai dagangan sekitar RM30 juta.

"FISB tiada pilihan lain kecuali menghantar ke Palestin melalui pelabuhan Israel iaitu Ashdod yang berhampiran dengan Palestin, di Palestin tiada pelabuhan cuma ada jeti nelayan.

"Sekali lagi ditegaskan bahawa semua produk itu adalah untuk dihantar ke Palestin dan bukannya ke Israel tetapi sebelum ke Palestin maka ia perlu melalui Ashdod untuk pemeriksaan pihak berkuasa Israel," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat bahawa Felda mengeksport minyak kelapa sawit ke Israel.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, invois bertarikh 7 Jan 2012 jelas menunjukkan bahawa FISB telah membuat penghantaran dengan menggunakan kapal Gallia V.1201 ke alamat, Ajjawi Commercial Stores Company, Jenin-Palestin melalui pelabuhan Ashdod.

"Semua jualan itu mempunyai permit eksport daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum penghantaran dibuat.

"Jualan produk minyak pukal dan lelemak adalah berdasarkan terma-terma kos, insurans dan pengangkutan," katanya.

Artikel Lain