suria

Empat Lelaki Terlibat Kemalangan Tinggalkan Kereta Mewah

BESUT: Empat lelaki yang menaiki sebuah BMW menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu sejurus terlibat dalam kemalangan di kilometer 0.5 Jalan Kuala Terengganu-Jertih di Kampung Mak Sara di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi Khamis.

Kenderaan itu dipercayai dipandu laju, terbabas ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain menyebabkannya melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam parit di sebelah laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata pihaknya menemui beberapa peralatan seperti pemotong besi dan parang ketika memeriksa kereta yang ditinggalkan itu.

"Sehingga tengah hari ini, masih belum ada laporan polis berhubung kemalangan daripada mangsa dan kita cuba menjejaki mereka selain mengenalpasti pemilik kenderaan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau meminta mana-mana pihak yang tahu atau melihat kemalangan itu untuk menghubungi polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain