suria

Desakan Agar Shahrizat Lepas Jawatan Ketua Wanita Umno Tak Perlu Timbul - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata desakan supaya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno tidak perlu timbul.

"Beliau dipilih menjadi Ketua Wanita Umno, jadi kenapa perkara seperti ini (desakan meletak jawatan) perlu timbul," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang mendesak Shahrizat melepaskan jawatan itu "demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan Wanita, Barisan Nasional dan kerajaan".

Tengku Adnan menyifatkan kenyataan Kamilia itu sebagai bersifat peribadi.

"Sepatutnya tidak perlu kenyataan sedemikian kerana perkara itu telah dibincangkan sebelum ini yang mana Datuk Seri Shahrizat akan terus menjadi Ketua Wanita hingga penggal akan datang," katanya.

Tengku Adnan berkata desakan itu tidak akan menjejaskan apa-apa dalam Umno.

Mengulas mengenai sesi taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Wanita Umno yang dijangka berlangsung di sini esok, beliau berkata ia berkisar kepada gerak kerja dan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau juga berkata isu desakan supaya Shahrizat berundur daripada mengetuai Wanita Umno tidak akan dibincangkan pada sesi taklimat itu.

Pada 11 Mac lepas, Shahrizat mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh beliau memegang jawatan anggota Dewan Negara tamat pada 8 April tetapi beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan BN.

Isu peletakan jawatan Shahrizat timbul apabila suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation, didakwa menyalahguna peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta untuk projek pengeluaran daging itu.

Pada 12 Mac lepas, Mohamad Salleh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.

Tengku Adnan berkata: "NFC tidak ada kaitan dengan Shahrizat dan Umno pula tidak ada kena mengena dengan NFC. Lagipun Shahrizat tidak dijatuhkan apa-apa hukuman." - BERNAMA

Artikel Lain