suria

Bilik AHU Mindef Terbakar Akibat Litar Pintas

KUALA LUMPUR: Kebakaran kecil, dipercayai akibat litar pintas, yang berlaku di bilik Air Handling Unit (AHU) di tingkat tiga Kementerian Pertahanan (Mindef) di Jalan Padang Tembak di sini Khamis, mengakibatkan warga kementerian itu bertindak mengosongkan bangunan.

Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelatek bergegas ke tempat kejadian pada kira-kira 3 petang setelah dimaklumkan terdapat kebakaran litar pintas di bilik berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata ketika pihaknya tiba ke lokasi kejadian, kebakaran telah dipadamkan warga kementerian menggunakan empat tong alat pemadam api jenis debu kering.

Sistem pesanan ringkas beliau kepada media juga menyebut tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Mindef dalam satu kenyataan memaklumkan warganya diarah bersurai untuk kembali bertugas kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Kenyataan itu juga memaklumkan kebakaran tersebut tidak mengakibatkan kerosakan premis, selain tidak ada kecederaan dilaporkan. - BERNAMA

Artikel Lain