suria

Ban Ki-moon Hargai Sokongan Malaysia Terhadap Inisiatif PBB

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon memuji Malaysia kerana penglibatan negara ini dalam pelbagai misi pengaman serta komitmennya untuk menyokong pelbagai inisiatif badan dunia itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuan mereka di sini Khamis, Ban juga memuji pertumbuhan dan kemajuan yang sedang berlaku di Malaysia.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan itu di Pejabat Perdana Menteri di sini, beliau berkata mereka juga membincangkan soal Pergerakan Kesederhanaan Global yang merupakan idea Malaysia.

Perdana Menteri berkata mereka turut menyentuh mengenai perkembangan serantau, dan beliau telah memberitahu Ban mengenai peranan Malaysia dalam menyokong proses perdamaian di Mindanao selain penglibatan Malaysia membantu kerajaan Thailand menyelesaikan isu di selatan negara itu.

Turut dibangkit dalam pertemuan itu ialah pergolakan di Palestin, dan dalam soal ini, Najib berkata bahawa Ban telah diberitahu isu itu amat rapat dengan rakyat Malaysia.

"Kita amat komited dalam usaha memupuk kedamaian dan kemajuan, dan saya telah memberitahu Tuan Yang Terutama bahawa Malaysia akan berusaha lebih gigih lagi sejajar dengan kemampuannya ke arah itu," kata Perdana Menteri.

Ban pula berkata beliau gembira dengan perkembangan positif yang sedang berlaku di Maynmar.

Myanmar akan mengadakan pilihan raya pada 1 April ini.

Najib dijadual melawat negara itu minggu depan. - BERNAMA

Artikel Lain