suria

Polis Tumpas Kes Samun Lori Treler Do Kota Belud

KOTA BELUD: Polis berjaya menumpaskan kes samun membabitkan sebuah lori treler Petronas yang membawa tong gas di Kampung Bundu Tuhan di Jalan Ranau berdekatan daerah Kota Belud, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud DSP Mohan Nadasen berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, empat orang suspek yang menaiki kereta jenis Toyota Vios dikatakan menahan pemandu lori yang sedang berhenti di tepi jalan untuk berehat.

Katanya tiga suspek yang bersenjatakan parang itu kemudian menahan pemandu lori berkenaan dan mengarahkan pemandu lori memandu kenderaan itu ke arah Kota Belud.

"Maklumat kejadian ini diterima pihak polis di sini melalui pemantauan alat GPS (Sistem Penentududukan Global) agen syarikat tersebut. Tindakan pantas pihak polis Kota Belud berjaya menahan lori berkenaan di tepi jalan Kota Kinabalu-Kota Belud berhampiran SMK Pekan II, Kota Belud. "Tiga orang suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran manakala seorang lagi rakan suspek yang menaiki kereta Vios melarikan diri ke arah Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Mohan berkata pemandu kereta Vios akhirnya ditangkap di Penampang oleh anggota kereta peronda Penampang serta Kota Kinabalu dan kereta berkenaan turut dirampas. Katanya dua daripada tiga suspek yang melarikan ke hutan itu juga berjaya diberkas.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek, yang berumur dalam lingkungan 20 dan 40 tahun, berasal dari Kota Kinabalu, dan usaha memburu seorang lagi suspek masih diteruskan.

Mohan berkata saringan awal menunjukkan hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Akta Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Lain